
JALAN SAMBUNGAN KOTA SYAHBANDAR-TAMAN STRAITS COURTYARD, JIMATKAN MASA PERJALANAN
KOTA LAKSAMANA 12 Jun – Pembukaan sambungan jalan di Lebuh Raya Pesisir Pantai menghubungkan Jalan Kota Syahbandar ke Taman Straits Courtyard, akan memendekkan lagi jarak dan masa perjalanan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan jalan empat lorong membabitkan laluan dua hala itu siap sepenuhnya pada 30 April lalu selepas projek pembinaan dimulakan pada 10 Februari 2025.
Katanya, pelaksanaan projek diuruskan oleh Tetuan Parkland Avenue sebagai kontraktor utama dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya sebagai agensi penyelenggara, manakala Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pula berperanan memantau serta mengurus bayaran balik kos pembinaan.
“Sambungan jalan sejauh 440 meter ini bermula dari Persimpangan Kota Syahbandar ke Taman Straits Courtyard membabitkan kos pembinaan sebanyak RM3.03 juta.
“Dengan pembukaan jalan ini, pengguna mempunyai jalan alternatif ke pusat bandar selain dapat menjimatkan jarak serta masa perjalanan yang kini hanya mengambil masa tiga minit berbanding lapan minit sebelum ini.
“Malah, aliran trafik dari Jalan Ong Kim Wee dan Melaka Raya yang menghala ke Klebang serta sekitar akan lebih lancar, sekali gus dapat mengurangkan masalah kesesakan trafik terutama di Kota Syahbandar pada waktu puncak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambungan Jalan Di Lebuh Raya Persisir Pantai Yang Menghubungkan Jalan Kota Syahbandar Ke Taman Straits Courtyard, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Timbalan Exco; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta Pengarah Urusan Parkland Group, Datuk Victor Tan.
Menurut Ab Rauf, kemudahan jalan raya memainkan peranan yang amat signifikan sebagai pemangkin utama kepada kemajuan ekonomi serta penanda aras untuk pembangunan mampan yang memberikan manfaat besar kepada rakyat Melaka khususnya.
“Malah menerusi Bajet 2025 Negeri Melaka, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur jalan raya termasuk pembinaan jalan baharu dan menaik taraf laluan sedia ada, ia bagi memastikan akses kemudahan jalan raya lebih lancar serta sistematik di seluruh negeri.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, projek ini juga merupakan langkah penting dalam memacu pembangunan di sekitar Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ),” katanya.
Jelas beliau, pastinya projek-projek ini akan merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi, membuka peluang perniagaan serta memberi impak positif kepada sektor perindustrian dan perbandaran Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.