Sorting by

×

JALAN SEHALA ALTERNATIF SELESAI RUNGUTAN PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 Ogos – Pengaktifan Sistem Jalan Sehala di Pekan Durian Tunggal antara inisiatif bagi menyelesaikan rungutan penduduk dihantui dengan masalah kesesakan lalu lintas sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata beliau menerima banyak aduan dan rungutan berkenaan kesesakan lalu lintas daripada penduduk sekitar pekan Durian Tunggal dan mengambil inisiatif melaksanakan jalan sehala bagi selesaikan masalah tersebut.

“Perancangan jalan sehala ini telah diuar-uarkan sebelum ini, jadi malam ini (5 Ogos) pelaksanaannya telah bermula. Saya mohon kepada semua penduduk Durian Tunggal menggunakan jalan ini agar patuhi pelaksanaan ini.

“Pelaksanaan jalan sehala ini merupakan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan serta melancarkan trafik di pekan Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengiringi Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer meninjau Pengaktifan Sistem Jalan Sehala di Pekan Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau perjalanan inisiatif laluan sehala sepanjang dua minggu tempoh percubaan.

“Jadi dalam tempoh dua minggu ini, kebarangkalian ada sedikit kecacatan, namun pihak JKR dan PDRM akan memantau bagi menyelesaikan segala kesulitan.

“Memandangkan pekan Durian Tunggal mempunyai banyak lampu isyarat, dengan kapasiti pengguna jalan raya kian bertambah, maka pelbagai inisiatif mengurangkan kesesakan lalu lintas akan dilaksanakan secara berfasa mengikut kesesuaian kawasan,” ujarnya.

Pengaktifan Sistem Jalan Sehala di pekan Durian Tunggal akan libatkan Jalan Murai Jaya 1 (jalan pintas pekan Durian Tunggal) kemudian melalui Jalan Durian Tunggal (menghala ke pekan dari arah Ayer Keroh) dan pekan Durian Tunggal (No Right Turn di persimpangan Jalan Belimbing Dalam/Parit Melana).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

539
Kongsi :
Previous post SEKOLAH MENENGAH BAHARU DUN REMBIA DIANGKAT KE RMK13, ATASI ISU KEPADATAN PELAJAR
Next post MCORP MAHU INISIATIF DILAKSANA BERI FAEDAH, TEMPIAS KEPADA RAKYAT