Sorting by

×

JAMBATAN DANG MERDU WATI IKON BAHARU SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 25 Oktober – Jambatan baharu di Sungai Melaka bakal menjadi satu lagi ikon baharu yang bukan sahaja memudahkan orang ramai menyeberang sungai, bahkan boleh menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, binaan baharu itu dinamakan Jambatan Dang Merdu Wati sempena nama ibunda kepada pahlawan Melayu tersohor, Hang Tuah.

Jelas beliau, nama tersebut dipilih bagi membolehkan rakyat dan pelancong ke negeri ini menghayati kisah dan nilai warisan sejarah, selain ia turut menjadi lambang kegemilangan Melaka suatu masa dahulu.

“Jambatan ini dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka bagi mempermudah pergerakan orang awam dan pelancong menyeberangi Sungai Melaka tanpa perlu melalui jalan raya.

“Ini sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan menambah daya tarikan pelancongan bandar,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Ab Rauf diiringi kenamaan telah menyempurnakan gimik perasmian jambatan berkenaan yang bakal dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

884
Kongsi :
Previous post MELAKA ANGKAT SEMANGAT PELANCONGAN BUDAYA