Sorting by

×

JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG DIBINA SEPTEMBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 10 Julai – Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong yang runtuh dalam kejadian 22 September 2023 yang lalu bakal dibina semula dengan kos dianggar berjumlah RM12 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pembinaan jambatan baharu itu dijangka bermula pada September depan dan sasaran siap dalam tempoh 24 bulan.

Katanya, buat masa ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka sedang dalam proses penilaian sebut harga sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

“Jambatan baharu itu membabitkan panjang 62 meter dan kelebaran enam meter di mana ia hanya membabitkan pembinaan satu dua hala sahaja, tidak seperti sebelum ini, di mana jambatan itu terpisah dalam dua laluan.

“Kita jangkakan, pembinaan ini mengambil masa dua tahun dan ia dijangka siap pada 2027, sekali gus memudahkan urusan penduduk, petani dan pengguna yang melalui jalan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan jambatan perhubungan desa berusia 25 tahun yang menghubungkan Kampung Stulang Daeng Bukit Rambai dan Pulau Gadong runtuh pada 22 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 5,000 penduduk di kawasan itu terjejas dan terpaksa melalui jalan yang lebih jauh.

Namun, Kerajaan Negeri bersama JKR telah mengambil tindakan pantas dengan membina jambatan sementara ‘Bailey Bridge’ di kawasan berhampiran yang mula dibuka pada 21 November 2023.

Jambatan dua lorong sepanjang 42 meter dengan lebar 7.3 meter itu hanya mengambil masa tiga hari untuk disiapkan dan dapat meleraikan dilema sementara penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post MURAL CETUS MINAT MURID TERHADAP SEJARAH
Next post PEKERJA KILANG MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA BUAT PUSINGAN U MENGEJUT