
JAMUAN AIDILFITRI DUN DUYONG KONSEP ‘BERSILA’ DI PADANG
AYER KEROH 27 Mac – Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong berkonsepkan ‘bersila’ di padang bakal menggamit memori orang dulu-dulu menyambut hari raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penganjuran jamuan itu di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit pada 10 April depan bakal berlangsung dalam suasana lebih santai.
Menurutnya, orang ramai boleh duduk bersila beramai-ramai di atas padang sambil menikmati juadah hari raya dalam suasana harmoni.
“Tahun ini kita tampil dengan konsep berbeza apabila semua pengunjung akan ‘lepak’ di atas padang tanpa kerusi dan meja, sekali gus mewujudkan suasana lebih santai dan mesra.
“Menu yang disediakan masih mengekalkan juadah tradisional hari raya, selain beberapa perancangan tambahan bagi memeriahkan lagi sambutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata majlis itu akan berlangsung di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit bermula jam 8 malam sehingga selesai.
“Jemputan turut disampaikan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh namun waktu kehadiran mereka masih belum dimuktamadkan.
“Konsep kita santai sahaja, riang ria bersama keluarga dan komuniti. Tema juga masih belum ditetapkan kerana kita ingin memberi laluan kepada jamuan peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


