Sorting by

×

‘JAMUAN AIDILFITRI MACHAP JAYA MERIAH MACAM BERAYA DI KAMPUNG’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MACHAP JAYA 6 April – Persekitaran Felda Hutan Percha yang masih kaya dengan ciri-ciri kampung tradisional selain pelita yang menyinari kiri dan kanan jalan menggamit memori kemeriahan suasana menyambut Aidilfitri dalam suasana desa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, itu adalah antara keistimewaan penganjuran Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang berlangsung di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, di sini, semalam.

Katanya, hidangan tradisional seperti ketupat, rendang, lemang dan pelbagai lagi hidangan tradisional menjadi pelengkap kepada jamuan berkenaan yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta masyarakat Orang Asli.

“Paling istimewa adalah semua hidangan yang disediakan untuk tetamu dimasak sendiri oleh komuniti di DUN Machap Jaya ini menggunakan resipi tradisional masing-masing.

“Tetamu yang hadir dapat menikmati air tangan orang DUN Machap jaya, kaedah ini dipilih kerana saya mahukan sambutan Aidilfitri dalam suasana kampung,” katanya ketika ditemui pada jamuan berkenaan.

Selain itu kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menjadi pelengkap kepada jamuan yang diadakan.

Turut hadir Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak serta Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, dianggarkan hampir 3,000 tetamu hadir ke jamuan berkenaan meskipun sasaran awal cuma 1,500 orang sahaja.

Menurutnya lagi, tetamu yang hadir bukan sahaja dalam kalangan warga Machap Jaya tetapi DUN yang berhampiran seperti Asahan dan banyak lagi.

“Terima kasih kepada semua yang hadir, kehadiran tetamu yang ramai membuktikan perpaduan di Melaka sangat subur, rakyat tanpa mengira kaum bersama-sama meraikan Aidilfitri, menikmati lemang dan ketupat semeja dalam suasana penuh harmoni,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post MBMB SAHUT GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT, CERIAKAN 250 WARGA BANDARAYA
Next post WRUR ASAHAN: MAIM SANTUNI, BANTU CANTIKKAN RUMAH ASNAF