Sorting by

×

JAMUAN AIDILFITRI TANDA TOK RAOP TAK LUPA RAKYAT KURANG MAMPU

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

GADEK 11 April – Penganjuran jamuan Aidilfitri di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka bukan sekadar untuk makan-makan, tetapi tersirat makna lebih besar iaitu meraikan rakyat yang kurang berkemampuan.

Perkara itu juga menterjemahkan keprihatinan dan sikap cakna Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap rakyat yang mungkin meraikan Aidilfitri dengan hidangan ala kadar dan persiapan yang cukup sederhana.

“Sebelum ini, ada yang bertanya kepada saya, Tok (Datuk Seri Utama), kenapa Melaka masih teruskan rumah terbuka seperti ini?…Saya ambil maklum dalam suasana sekarang, kita semua perlu lebih berhemah dan cermat dalam berbelanja.

“Saya dengar, saya teliti…Tetapi dalam masa yang sama, saya kenangkan masih ada dalam kalangan rakyat kita yang tidak berpeluang menyambut raya seperti orang lain. Ada yang serba kekurangan, ada anak-anak yang hanya mampu melihat orang lain bergembira.

“Sebab itu saya katakan kepada pegawai saya kita teruskan, kita buat. Kerana bagi saya, majlis seperti ini bukan sekadar makan-makan..tetapi ini tentang rakyat. Tentang kebersamaan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat & Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Taman Sebang Gemilang, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Adun Asahan.

Yang turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mustafa Musa dan Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Ab Rauf berkata, inisiatif itu juga secara tidak langsung tentang memastikan hubungan antara pemimpin dan rakyat sentiasa dekat.

“Inilah roh sebenar Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Dalam semangat inilah juga Program WRUR ini terus
digerakkan supaya kita turun lebih dekat, mendengar sendiri denyut nadi rakyat di setiap DUN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post WRUR DUN GADEK BUKA TIRAI, FOKUS SELESAI ISU RAKYAT