
JANGAN GUNA ALASAN SST NAIKKAN HARGA DI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 29 Jun – Peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak menggunakan alasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan atau makanan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, alasan tersebut tidak boleh diterima memandangkan buat masa ini masih belum ada ketetapan jelas berhubung pelaksanaan cukai jualan tersebut.
Tambahnya, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan sebelum ini turut menjelaskan bahawa pelaksanaan SST juga tidak dikenakan ke atas ke atas barangan keperluan harian seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur, selain beberapa barangan import turut dikecualikan daripada cukai.
“Jadi, saya minta janganlah gunakan alasan SST untuk menaikkan harga barangan atau makanan selagi tiada pengumuman yang jelas daripada kerajaan.
“Seperti sebelum ini, ramai bimbang berhubung kenaikan tarif elektrik, namun selepas penjelasan dibuat ternyata penyelarasan baharu itu tidak membebankan rakyat, bahkan boleh memberi lebih penjimatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Semarak Konsumerisme Bersama Pengamal Media Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.
Menurut Allex, Kerajaan Negeri menerusi KPDN Negeri Melaka akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas peniaga di negeri ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga tanpa sebab yang munasabah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.