Sorting by

×

‘JANGAN JUAL SEMULA MAKANAN TIDAK HABIS’

Masa Membaca:54 Saat

KESIDANG 27 Februari – Peniaga di pasar Ramadan diingatkan supaya tidak menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya bagi mengelakkan sebarang risiko keracunan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata, peniaga juga diminta memastikan persekitaran gerai sentiasa berada dalam keadaan bersih serta hanya menjual makanan yang dimasak baharu setiap hari.

“Ini bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan kepada pengguna. Justeru peniaga digalakkan menyumbangkan makanan yang tidak habis dijual dan menyediakan hidangan baharu pada keesokan hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan ‘Walkabout’ di Bazar Ramadan Taman Melaka Baru, di sini, semalam.

Sapiah turut menasihatkan semua peniaga bazar Ramadan agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk keperluan mendapatkan suntikan tifoid sebelum lesen perniagaan dikeluarkan.

“Aspek kebersihan diri juga perlu diberi perhatian seperti memakai apron, menjaga kebersihan kuku dan tangan, menutup kepala serta mematuhi etika pemakaian semasa mengendalikan makanan.

“Bagi peniaga lelaki, mereka perlu memakai topi manakala peniaga wanita pula digalakkan memakai tudung atau topi ketika berniaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post MPAG AGIH LEBIH 2,000 BUNGKUS BUBUR LAMBUK
Next post DUA MAUT KEMALANGAN KERETA DI JALAN SERKAM–BEMBAN