
JANGAN SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT DI TIKTOK – KETUA MENTERI
SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri, hari ini, membidas sikap pihak tertentu termasuk pembangkang yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat melalui media sosial termasuk menerusi aplikasi TikTok.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun Kerajaan Negeri terbuka menerima kritikan dan teguran termasuk melalui media sosial, tetapi biarlah ia berdasarkan fakta agar tidak mengelirukan rakyat.
Menurutnya, sebagai pemimpin negeri, beliau sentiasa terbuka terhadap teguran dan kritikan, namun menegaskan sebarang dakwaan mestilah bersumberkan maklumat yang sahih dan tidak memesongkan persepsi rakyat.
“Kepada wakil rakyat pembangkang, janganlah menggunakan TikTok untuk menyebarkan maklumat tidak tepat untuk memburukkan Kerajaan Negeri. Nasihat saya, jangan banyak main TikTok, nanti jadi ‘tingtong’.
“Saya lebih fokus kepada tanggungjawab besar mengurus negeri dan menjaga kebajikan sejuta rakyat di Melaka,” katanya semasa ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, hari ini.
Mengulas isu Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Ketua Menteri menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan pembangkang merupakan isu warisan daripada pentadbiran terdahulu.
“UNIMEL bukan isu yang saya cipta. Sebaik sahaja saya memimpin, saya ambil tanggungjawab untuk memperkenalkan struktur baharu agar segala hutang dapat disusun dan dijelaskan.
“Kita tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah terus memperkemas kaedah pengurusan dan pentadbiran demi masa depan institusi ini,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri turut menegur Ketua Pembangkang, Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang didakwa gagal membezakan peranan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal pembangunan, khususnya isu banjir.
Beliau menegaskan bahawa urusan berkaitan sistem saliran dan pengurusan banjir adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan bukan Kerajaan Negeri.
“Kita perlu tahu sempadan peranan masing-masing. Tetapi meskipun isu saliran bukan di bawah bidang kuasa negeri, Kerajaan Negeri tetap mengambil inisiatif menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Sebagai contoh, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM400 juta telah diluluskan untuk menangani masalah banjir di Masjid Tanah, manakala RM1.5 juta telah diperoleh untuk membina benteng hakisan di Pantai Siring.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.