Sorting by

×

JANGKITAN HIV DI MELAKA MENURUN 30 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 11 Disember – Kes HIV di Melaka mencatatkan penurunan hampir 30 peratus telah direkodkan pada 2024 berbanding 2010.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, data menunjukkan pada 2024, kadar jangkitan HIV di negeri ini adalah 9.4 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Jelas beliau, ia jauh menurun berbanding kadar 29 daripada 100,000 populasi pada 2010.

Manakala setakat Januari hingga November 2025, Melaka telah mengesan seramai 97 orang kes baru HIV atau AIDS.

“Ini merupakan hasil komitmen berterusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakan-rakan strategik yang lain termasuklah program ‘Harm Reduction’, saringan universal ibu mengandung dan pra- perkahwinan dan rawatan anti- retroviral therapy (ART) yang berkesan dan percuma kepada penghidap HIV,” katanya.

Belia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, pola jangkitan terkini menunjukkan separuh daripada jangkitan HIV di Melaka dan Malaysia secara umumnya berlaku dalam kalangan mereka yang berusia di antara 13 sehingga 29 tahun.

“Situasi ini sangat membimbangkan di saat negara kita sedang mengalami pembangunan pesat dan bergantung kepada tenaga kerja belia bagi memastikan kemajuan negara.

“Majoriti jangkitan HIV yang berlaku di Melaka dan Malaysia adalah melalui transmisi seksual, di mana 65 peratus daripadanya adalah dari hubungan homoseksual antara lelaki,” katanya.

Terdahulu, sambutan bertemakan ‘Akhiri AIDS: Mendepani Cabaran, Mentransformasi Tindakan’ itu memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pencegahan HIV dan komitmen untuk mencapai matlamat ‘Melaka Getting to Zero HIV.’

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post SYIAR ISLAM SUBUR DI BAWAH KEPIMPINAN AB RAUF – MUFTI MELAKA