
JANTUNG BERDEBAR TANPA SEBAB? INI MUNGKIN ARITMIA
Masa Membaca:4 Minit, 59 Saat
Oleh: Dr. Hartini Mohd Yusof
Pakar Perubatan Dalaman, Jantung & Eletrofisiologi
Oriental Melaka Straits Medical Centre

“KETIKA sedang duduk berehat selepas bersenam, Amir (bukan nama sebenar), 25 tahun, tiba-tiba merasakan jantungnya berdegup terlalu laju, seolah-olah berlumba tanpa henti. Nafasnya menjadi pendek, tapak tangannya berpeluh, dan perasaan cemas mula menguasai diri walaupun tiada sakit dada. Degupan laju itu berlarutan hampir setengah jam sebelum perlahan semula. Pemeriksaan di hospital kemudiannya mengesahkan bahawa Amir mengalami supraventricular tachycardia (SVT), sejenis gangguan irama jantung yang sering menyerang individu muda secara tiba-tiba dan boleh berulang jika tidak dikenali serta dirawat dengan betul.”“Suatu pagi, Puan Salmah (bukan nama sebenar), 62 tahun, menyedari degupan jantungnya terasa lain daripada biasa. Sesekali jantungnya berdebar, disertai rasa pening dan cepat penat. Pada mulanya beliau menyangka keadaan itu hanyalah kesan usia dan keletihan. Namun selepas pemeriksaan di klinik, doktor mengesahkan bahawa beliau mengalami aritmia, iaitu gangguan irama jantung yang perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan kesihatan jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal.”
Senario seperti di atas bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian. Kedua-dua pesakit tersebut sebenarnya mengalami aritmia. Dalam ruangan ini, kita akan mengupas dengan lebih lanjut apakah yang dimaksudkan dengan aritmia serta mengapa ia penting untuk difahami oleh orang ramai.
———————————————————————————————————
Struktur Jantung
Jantung terdiri daripada beberapa struktur: 4 bilik jantung (heart chambers), 4 injap (valves) yang menghubungkan setiap bilik, pembuluh darah dan sistem konduksi elektrik.
Setiap bahagian jantung mempunyai peranan yang penting bagi jantung menjalankan fungsi utamanya iaitu menerima darah dari paru-paru dan seluruh badan, seterusnya mengepam darah ke paru-paru dan seluruh badan tanpa henti.
Aritmia: Apabila Degupan Jantung Tidak Teratur
Dalam keadaan normal, jantung berdegup secara teratur, sekitar 60 hingga 100 kali seminit ketika berehat. Namun, bagi sesetengah individu, degupan jantung boleh menjadi terlalu laju, terlalu perlahan atau tidak sekata. Keadaan ini dikenali sebagai aritmia.
Aritmia bukanlah penyakit yang asing, namun masih ramai yang kurang memahami tanda-tanda, punca dan kepentingan rawatan awal. Tanpa rawatan yang sesuai, aritmia boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok, kegagalan jantung, atau kematian mengejut.
———————————————————————————————————
Apa itu Aritmia (arrhythmia)?
Aritmia (arrhythmia) merujuk kepada gangguan rentak jantung yang menyebabkan degupan jantung yang tidak normal seperti terlampau perlahan, terlampau laju, atau degupan jantung tidak teratur. Ini berlaku berikutan aktiviti elektrik atau sistem konduksi elektrik yang mengawal rentak jantung normal terganggu. Secara umumnya, aritmia jantung terbahagi kepada 3 kategori utama:
• Bradiaritmia (bradyarrhytmia): Gangguan irama jantung yang menyebabkan degupan jantung lebih perlahan daripada biasa.
• Takiaritmia (tachyarrhythmia): Gangguan irama jantung yang menyebabkan degupan jantung lebih cepat. Takiaritmia boleh terbahagi kepada 2 jenis bergantung pada lokasi gangguan aktiviti elektrik dalam jantung.
> Supraventrikular takiaritmia (Supraventicular tachyarrhythmia) – berlaku apabila aktiviti elektrik pada atrium (bilik jantung atas) menjadi tidak normal.
> Ventikular aritmia (Ventricular arrhythmia) berlaku apabila aktiviti elektrik pada ventrikel (bilik jantung bawah) menjadi tidak normal.
• Rentak jantung pramatang (Premature beats): Melibatkan degupan jantung berlaku lebih awal daripada biasa, menyebabkan individu merasa seolah-olah jantung “melompat” atau berhenti seketika sebelum kembali berdegup seperti biasa.
———————————————————————————————————
Jenis-Jenis Aritmia Yang Lazim
Antara jenis aritmia yang sering berlaku termasuk:
1. Fibrilasi atrium (Atrial Fibrillation) – degupan jantung menjadi sangat tidak teratur dan meningkatkan risiko strok.
2. Flutter atrium – hampir sama dengan fibrilasi atrium tetapi lebih teratur.
3. Ventricular tachycardia – degupan laju dari ruang bawah jantung, boleh membawa maut.
4. Ventricular fibrillation – degupan jantung sangat kacau dan merupakan kecemasan perubatan.
5. Blok jantung – isyarat elektrik jantung tersekat, menyebabkan degupan perlahan.
———————————————————————————————————
Apakah Tanda-Tanda Aritmia?
Tanda-tanda aritmia berbeza antara individu. Ada yang tidak mengalami sebarang gejala, manakala ada yang mengalami simptom yang ketara seperti:
• Jantung berdebar-debar
• Rasa degupan jantung tidak sekata
• Pening atau rasa hendak pitam
• Mudah penat
• Sesak nafas
• Sakit dada
• Pengsan
Jika simptom ini berlaku secara kerap atau tiba-tiba menjadi teruk, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan segera.
———————————————————————————————————
Siapakah Yang Berisiko Mengalami Aritmia?
Aritmia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi risikonya lebih tinggi dalam kalangan:
• Warga emas
• Pesakit darah tinggi
• Pesakit kencing manis
• Individu dengan penyakit jantung
• Perokok
• Individu obes
• Mereka yang kurang aktif secara fizikal
• Pengambilan alkohol atau kafein berlebihan
• Tekanan emosi yang berpanjangan
———————————————————————————————————
Bagaimana Aritmia Didiagnosis?
Diagnosis aritmia biasanya dilakukan melalui:
• Elektrokardiogram (ECG) – merekodkan aktiviti elektrik jantung
• Holter monitor – alat ECG mudah alih dipakai selama 24 jam hingga 14 hari
• Ujian senaman (treadmill test)
• Ujian darah untuk mengenal pasti punca lain seperti masalah tiroid
Dalam sesetengah keadaan, pemeriksaan awal mungkin tidak dapat mengesan aritmia yang hanya berlaku sekali-sekala. Oleh itu, pemantauan berterusan dan kadangkala siasatan yang lebih teliti diperlukan bagi memastikan diagnosis yang tepat.
———————————————————————————————————
Rawatan Aritmia
Rawatan aritmia bergantung kepada jenis dan tahap keterukan. Antara kaedah rawatan termasuk:
• Ubat-ubatan untuk mengawal degupan jantung
• Kardioversi elektrik untuk memulihkan irama normal
• Ablasi jantung (catheter ablation) bagi memusnahkan tisu jantung yang menyebabkan irama tidak normal. Kebanyakan jenis aritmia memerlukan rawatan ini sama ada untuk memulihkan irama jantung yang normal atau bagi mengurangkan kekerapan serta kesan aritmia terhadap pesakit.
• Alat pacu jantung (pacemaker) untuk degupan terlalu perlahan
• Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) bagi mencegah kematian mengejut
Doktor akan menilai pilihan rawatan terbaik berdasarkan keadaan pesakit.
———————————————————————————————————
Pencegahan Aritmia Melalui Gaya Hidup Sihat
Berita baiknya, banyak kes aritmia boleh dicegah atau dikawal melalui perubahan gaya hidup:
• Amalkan pemakanan seimbang rendah garam dan lemak
• Lakukan aktiviti fizikal secara berkala seperti berjalan kaki
• Berhenti merokok
• Hadkan pengambilan alkohol dan minuman berkafein
• Kawal tekanan melalui rehat, solat, dan teknik relaksasi
• Kekalkan berat badan yang sihat
• Ambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor
Pemeriksaan kesihatan berkala juga penting untuk mengesan masalah lebih awal.
———————————————————————————————————
Bila Perlu Mendapatkan Rawatan Segera?
Dapatkan rawatan kecemasan jika mengalami:
• Pengsan secara tiba-tiba
• Sakit dada yang kuat
• Sesak nafas yang teruk
• Degupan jantung terlalu laju atau perlahan disertai pening
Jangan berlengah kerana rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa.
———————————————————————————————————
Kesimpulan
Aritmia ialah masalah irama jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan membawa komplikasi serius jika diabaikan. Walaupun ada aritmia yang tidak berbahaya, pemeriksaan dan pemantauan perubatan tetap penting. Dengan gaya hidup sihat, kesedaran awal dan rawatan yang betul, kebanyakan pesakit boleh menjalani kehidupan yang aktif dan berkualiti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
394


