Sorting by

×

JAS SASAR PENYERTAAN SLAAS TAHUN 2026 MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BUKIT KATIL 28 November – Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan penyertaan bagi Program Penilaian Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) 2026 meningkat kepada 30 peratus.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, setakat November 2025 sebanyak 1,598 sekolah seluruh negara direkodkan mengambil bahagian dalam SLAAS.

Katanya, buku Garis Panduan Pelaksanaan dan Penilaian SLAAS Edisi Kedua 2025 telah dilancar sebagai dokumen rasmi bagi kitar ke-10 Program SLAAS sesi 2025/2026.

“Peluncuran buku garis panduan ini kita adakan serentak dengan Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak.

“Ia berikutan SK Kampung Tun Razak juga merupakan penerima Anugerah SLAAS Peringkat Negeri Melaka bagi sesi 2023/2024.

“Kita sasarkan pada tahun hadapan, akan berlaku peningkatan penyertaan 30 peratus daripada keseluruhan 10,220 sekolah dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian SAM serta Peluncuran Buku Garis Panduan Pelaksanaan dan Penilaian SLAAS di SK Kampung Tun Razak, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JAS Negeri Melaka Rosli Mustafa dan Guru Besar SK Kampung Tun Razak Norazman Hussin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata JAS optimis sasaran itu dapat dicapai menerusi penambahbaikan sistem pelaporan program melalui kaedah pendigitalan.

“Menerusi peluncuran buku garis panduan ini kita galakkan lebih banyak sekolah membudayakan amalan lestari dan menjadikan institusi pendidikan sebagai ejen perubahan alam sekitar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post 143 MURID DUN AYER MOLEK TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN 2026