
JBPM SIASAT 416 ADUAN INTEGRITI SEPANJANG 2021-2025
AYER KEROH 28 November – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 416 aduan berkaitan integriti bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, setakat November 2025 sebanyak 70 aduan direkodkan menurun sebanyak 28 peratus berbanding 95 bagi tempoh sama 2024.
“Dalam tempoh sama (2021-2025), JBPM turut merekodkan 225 kes tatatertib membabitkan 197 pegawai dengan purata kira-kira 40 pegawai setahun terlibat dalam pelbagai salah laku.
“Pendedahan angka ini bukan untuk ‘membuka pekung yang membusuk di dada’, sebaliknya menggambarkan cabaran sebenar dihadapi JBPM dalam membanteras salah laku, kebejatan (kerosakan) moral dan isu etika dalam perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Tahun 2025 JBPM di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.
Ts. Nor Hisham menegaskan, semua warga JBPM terus berpegang kepada nilai integriti dengan melaporkan salah laku, tidak berdiam diri jika menjadi mangsa gangguan di tempat kerja serta menolak sebarang tawaran rasuah.
“Komitmen menyeluruh daripada semua pihak diyakini mampu merealisasikan aspirasi Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
“Perkhidmatan awam khususnya JBPM bukan sekadar mahu dipandang cemerlang, tetapi bersih, telus dan disegani, integriti bukan poster di dinding, tetapi identiti penjawat awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

