
JDI PERCEPAT KELULUSAN, 15 PROJEK SUDAH DIPROSES PERMOHONAN – YDP MPJ
JASIN 3 Januari – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus memperkasa usaha pembangunan daerah itu menerusi pengenalan Jasin Development Initiative (JDI) iaitu inisiatif pemudah cara pelaburan dan mempercepatkan kelulusan pembangunan.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, setakat ini sebanyak 15 permohonan projek telah diproses melalui inisiatif berkenaan.
Katanya, langkah itu selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi mesra pelabur, khususnya di daerah Jasin.
“MPJ akan terus memudah cara dan membantu pelabur agar permohonan dapat dipertimbangkan dalam tempoh singkat berdasarkan garis panduan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di pejabatnya di Vista Alamanda, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata MPJ pada tahun 2026 juga akan menjana persekitaran pembangunan yang kondusif, telus dan efisien untuk menarik lebih ramai pelabur tempatan dan luar.
Jelasnya, bagi menjadikan Jasin sebagai daerah mesra pelabur, MPJ akan meningkatkan kecekapan proses, pelaksanaan inisiatif pembangunan memberi impak ekonomi termasuk projek perbandaran baharu, pembinaan jalan serta penjajaran projek infrastruktur besar.
“Kita juga akan adakan perjanjian kerjasama dengan sektor swasta dan pelabur bagi memacu pembangunan sosioekonomi Jasin dengan lebih progresif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

