Sorting by

×

JEBAT, ‘KUCING HITAM’ MANJA ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Memiliki tubuh tegap namun sikapnya yang manja seperti seekor kucing menjadikan anak harimau kumbang bernama Jebat ini sentiasa mencuri perhatian.

Jebat yang kini berusia setahun pada Februari lalu ini merupakan antara tarikan haiwan yang terdapat di Zoo Melaka dan berjaya menambat hati pengunjung.

Penjaganya, Azman Johari berkata, haiwan tersebut merupakan antara enam ekor harimau kumbang yang terdapat di Zoo Melaka.

Katanya, sejak lahir di Zoo Melaka, Jebat telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan semakin aktif seiring peningkatan usia.

“Jebat kini berada dalam fasa membesar dan semakin menunjukkan sifat berdikari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Azman, harimau kumbang dan harimau bintang sebenarnya merupakan spesies yang sama dan perbezaan yang wujud hanyalah pada warna bulu haiwan itu.

“Harimau kumbang mengalami fenomena genetik yang dikenali sebagai melanistik, di mana mutasi gen menyebabkan penghasilan pigmen melanin secara berlebihan, sekali gus menjadikan warna bulu harimau kumbang kelihatan lebih gelap atau hitam.

“Walaupun berwarna hitam, tompok pada badannya masih wujud dan boleh dilihat dengan lebih jelas di bawah pencahayaan tertentu. Warna anak yang dilahirkan pula bergantung kepada genetik dominan yang diwarisi daripada induknya,” katanya.

Tambah Azman, sebagai ‘zookeeper’, dia perlu memastikan aspek pemakanan diberi perhatian serius bagi menjamin tumbesaran optimum dengan menu harian terdiri daripada ayam dan daging, selain diberikan tulang serta makanan segar tertentu secara berkala.

Jelasnya, semua proses itu dipantau untuk memastikan Jebat dapat menyesuaikan diri dan belajar mengadaptasi dengan suasana di zoo berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post ANGGOTA MALBATT SELAMAT DI SELATAN LUBNAN, TERUS PATUH SOP
Next post MELAKA SOKONG SEKAT MEDIA SOSIAL ANAK 16 TAHUN KEBAWAH