Sorting by

×

JIRAN PEMURAH JENTIK HATI CEF AMANN TEOH PELUK ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Mac – Sifat pemurah jiran Muslim dari Lubnan yang tidak pernah lokek bersedekah walaupun hidup sederhana menjadi titik permulaan seorang lelaki mengenali keindahan Islam sebelum nekad mengucap syahadah 13 tahun lalu.

Menurut Muhammad Amann Teoh Man Chun, 58, pengalaman itu dilalui ketika dia bekerja di Australia dan sering melihat jirannya menyediakan makanan untuk disedekahkan setiap Jumaat.

“Pada awalnya saya agak hairan kerana keluarga berkenaan sendiri hidup sederhana namun tetap berkongsi rezeki dengan orang lain tanpa mengira latar belakang.

“Situasi itu membuatkan saya tertanya-tanya dan ia benar-benar menyentuh hati apabila dikongsi kebaikan bersedekah,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Hulu, baru-baru ini.

Muhammad Amann yang juga seorang cef berkata, meskipun banyak mengembara ke pelbagai negara tetapi dirinya sering rasa kosong dan tidak menemui ketenangan selain turut mengalami masalah tidur.

“Sepatutnya apabila banyak merantau dan melihat keindahan negara-negara lain ia membuatkan jiwa tenang dan damai namun apa yang berlaku kepada saya sebaliknya.

“Hati tidak tenang seakan ada sesuatu yang tidak kena sehingga seorang kenalan meminta saya untuk mengenali Islam mungkin melalui cara itu saya temui ketenangan,” katanya.

Whatsapp image 2026 03 12 at 13.13.05
MUHAMMAD AMANN

Lebih dikenali dengan nama Cef Amann Teoh, dia yang kembali ke tanah air kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah pada 24 Julai 2013.

“Meskipun sudah agak lama berhijrah namun saya masih belajar dan mendalami Islam kerana ingin menjadi Muslim sejati.

“Sejujurnya Islam banyak mengubah diri saya untuk menjadi manusia yang lebih baik, bukan sahaja dari segi akhlak dan cara berfikir tetapi mengajar saya tentang nilai kesabaran, keikhlasan serta kepentingan membantu orang lain tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Jelasnya, dalam mempersiapkan diri menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik, dia banyak mengikuti kelas di Kompleks Darul Huda, Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Kami saudara baru sentiasa diberi bimbingan yang penting diri sendiri sama ada ingin belajar mahupun tidak tetapi di Balai Islam semuanya ada termasuk kelas mengaji dan diajar cara solat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post PARKIR PERCUMA SEMPENA AIDILFITRI DIJANGKA GAMIT PELANCONG KE MELAKA