
JIWA PATRIOTIK KRT TAMAN KRUBONG HEIGHTS
PAYA RUMPUT 5 Ogos – Lebih 500 Jalur Gemilang dipasang di Taman Krubong Heights Fasa 1, di sini, dalam usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Usaha itu dilakukan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan sebagai lambang cinta dan sayang pada negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa KRT Mohamad Hafiz Abd Aziz, 37, selain menceriakan kawasan taman perumahan itu, penduduk juga menyahut kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang seperti saranan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Jelasnya, pemasangan Jalur Gemilang itu akan melibatkan sebanyak 222 buah rumah di kawasan tersebut.
“Kami amat bersyukur kerana penduduk di sini memberikan sokongan penuh sehingga ada yang sanggup menyumbang wang bagi menambah kemeriahan Bulan Kebangsaan tahun ini.
“Malah, rata-rata penduduk turut berganding bahu dengan bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di keseluruhan kawasan dalam usaha memupuk semangat cintakan negara,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Nazmi Sulaiman, 37, berkata, selain dapat membangkitkan semangat patriotisme, program itu juga mampu mengeratkan lagi hubungan kejiranan dan memupuk kerja-kerja kesukarelawan dalam komuniti.
“Semua perlu bersama memainkan peranan di peringkat akar umbi untuk menjayakan kempen ini kerana ia menjadi sebahagian daripada kita sebagai rakyat untuk menjadi ejen perubahan dan contoh kepada generasi muda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.