
JKKN MELAKA ANJUR ‘COLOURS OF MALAYSIA 2025’
AYER KEROH 11 Julai – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka menganjurkan program Colours of Malaysia 2025 di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh, bermula pada jam 2.30 petang esok.
Program berkenaan adalah antara pengisian dilaksanakan menerusi JKKN bagi mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024-2026 dan Visit Malaysia 2026, sekali gus menggamit lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
JKKN Melaka menerusi kenyataan memaklumkan program kesenian kelolaan Unit Pembangunan Produksi dan Artistik itu turut melibatkan pementasan persembahan muzikal tari bertajuk ‘Beghaok’ menggabungkan elemen lagu dan tarian diterjemahkan dalam bentuk jalan cerita menerusi pementasan lebih satu jam.
“Pementasan ini menceritakan kisah seorang Tok Sidang (ketua adat) bersama-sama penduduk kampung berusaha mengekalkan tradisi turun-temurun hidup sepakat dan bermuafakat dalam melaksanakan aktiviti gotong-royong seperti bertani, membuat belacan, mengusung angkat rumah ke tempat baharu, rewang dan kenduri kahwin.
“Pementasan muzikal ini dijayakan oleh 78 orang artis tari pelbagai peringkat usia termasuk Artis Tari Cilik Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) JKKN Melaka serta Artis Tari Dewasa Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) JKKN Melaka,” kata kenyataan itu.
Program Colours of Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif JKKN dalam mempromosikan seni budaya kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa melalui penyampaian persembahan pentas, sekali gus mengangkat warisan khazanah bangsa dalam karya pementasan.
“Beghaok sinonim dengan loghat masyarakat Negeri Melaka yang membawa maksud heboh atau kecoh. Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Ab Rahman juga dijadualkan hadir bagi bersama-sama menyaksikan persembahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.