Sorting by

×

JONKER STREET DAN BABA NYONYA PIKAT FAN BINGBING

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 September – “Bersiar-siar santai di Jonker Street, melawat rumah warisan Baba Nyonya dan menikmati masakan Peranakan membuatkan saya benar-benar merasai sejarah yang masih hidup di Melaka.”

Itu antara yang dikongsi Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing yang terpesona dengan pengalaman mendekati budaya tempatan sepanjang kunjungannya ke negeri bersejarah ini.

Artis terkenal dari China itu berkata, Melaka memiliki keunikan tersendiri dan berjaya mengekalkan warisan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Melaka kaya dengan sejarah, warisan dan identiti pelbagai budaya, setiap kali ke negeri ini ia memberi pengalaman unik.

“Malaysia pula secara keseluruhannya kaya dengan kehangatan, kepelbagaian dan keindahan. Setiap negeri mempunyai cerita, tradisi dan citarasa tersendiri,  saya amat terinspirasi dengan keramahan masyarakatnya,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Img 20250928 wa0010
DUTA Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing.

Dalam pada itu, Fan Bingbing turut menekankan status UNESCO yang dimiliki Melaka perlu terus diperkasakan dengan memperkenalkan pengalaman mendalam seperti jelajah warisan, pengalaman kulinari dan persembahan budaya kepada pelancong antarabangsa.

“Status UNESCO amat penting, namun budaya hidup, makanan dan komuniti di Melaka adalah kekuatan utamanya.

“Untuk menarik pelancong antarabangsa, khususnya dari China dan Asia, perkongsian sejarah bersama dan hubungan budaya berabad-abad perlu lebih ditonjolkan. Aktiviti seperti jelajah warisan, pengalaman kulinari dan persembahan budaya akan memberi ikatan lebih mendalam kepada pengunjung,” ujarnya.

Menurut Fan Bingbing penghormatan dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka turut membakar keazamannya untuk menjadi jambatan budaya, sekali gus mempromosikan keindahan Melaka kepada dunia.

“Saya mahu menjadi jambatan budaya, memperkenalkan keindahan dan kisah Melaka serta Malaysia kepada khalayak global.

“Harapan saya agar lebih ramai pelancong akan datang, menghargai warisan dan membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika di Melaka,”katanya.

JONKER Street antara lokasi tumpuan pelancongan di Banda Hilir (Gambar hiasan).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

914
Kongsi :
Previous post UNTA SERTAI PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SUNGAI UDANG