Sorting by

×

‘JOY RIDE’ TAWAR PENGALAMAN NIKMATI PEMANDANGAN MELAKA DARI UDARA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Pengunjung dan pelancong singgah ke Melaka berpeluang untuk menikmati pemandangan negeri ini dari udara menerusi pakej penerbangan ‘joy ride’ bakal dilancarkan September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, joy ride adalah pengalaman terbang bersama pesawat ringan selama 40 minit yang akan menjadi antara produk yang mewarnai serta memeriahkan lagi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC).

Ab Rauf berkata, joy ride dikendalikan International Aero Training Academy (IATAC) menawarkan kekerapan lapan penerbangan sehari kepada pengunjung atau pelancong ingin menikmati pemandangan indah sekitar Melaka dari udara.

“Saya akan umumkan kadar bayarannya kemudian, tetapi ia amat berpatutan. Sekiranya semua proses kelulusan berjalan lancar, produk ini akan dilancarkan pada September,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan Two U One I (kerjasama IATAC dan UPNM) di IATAC, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap.

Menurut Ketua Menteri, tarikan baharu itu akan melengkapkan penawaran produk pelancongan sedia ada di Banda Hilir dan pada masa yang sama merancakkan lagi perkembangan sektor sama di sebelah Batu Berendam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post KITAR SEMULA TRASH TO CASH MPAG KEMBALI SABTU INI
Next post PROGRAM IJAZAH PENERBANGAN PERTAMA MALAYSIA DILANCAR DI MELAKA