
JPS LAKSANAKAN LANGKAH SEGERA KURANGKAN RISIKO BANJIR KAMPUNG LUBOK KASAU
BEMBAN 4 Julai – Penduduk Kampung Lubok Kasau, di sini, meluahkan rasa lega apabila Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek mengurangkan risiko banjir di kampung itu, bermula Ogos depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai tindakan segera satu projek mitigasi banjir dengan anggaran kos antara RM1 hingga RM1.5 juta diperuntukkan JPS menerusi bajet kecemasan.
Katanya, mengikut rekod JPS dalam tempoh dua bulan antara Mac dan April, Kampung Lubok Kasau sudah tidak kali dilanda banjir, justeru tindakan luar biasa demi keselamatan rakyat perlu dilaksanakan.
“Dianggarkan 200 penduduk kampung akan menikmati faedah hasil projek mitigasi banjir bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban ini kita telah mengkaji segala pemasalahan rakyat termasuk berkaitan perparitan dan saliran. JPS turut memaklumkan bahawa Sungai Bemban ini kedalaman agak rendah.
“Sehubungan itu perancangan jangka sederhana dilaksanakan bagi memastikan limpahan air tidak masuk ke kawasan kampung. Inisiatif ini melibatkan beberapa skop kerja antaranya pengaluran sungai, penstabilan tebing dan meninggikan ban sungai sepanjang kira-kira 2.2 kilometer.
“Kerja-kerja fizikal dijangka akan bermula 1 Ogos dan dijadualkan siap sepenuhnya pada November,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas melakukan lawatan ke projek mengurangkan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau sempena program WRUR DUN Bemban, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan Pengarah JPS negeri, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.
Menurut Ab Rauf, tindakan perancangan jangka panjang juga akan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.
“Jadi untuk perancangan jangka panjang kita akan kemukakan nanti apabila JPS mendapat satu penilaian terperinci dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membantu penduduk Kampung Lubok Kasau.
“JPS Melaka juga telah memohon peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk melaksanakan kajian khusus berkaitan sistem saliran dan pengurusan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau, Kampung Asam Kumbang dan beberapa kawasan lain yang sering dilanda banjir dalam DUN Bemban.
“Kajian ini penting sebagai asas perancangan lebih besar dan menyeluruh bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lestari dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri kekal komited dan bersedia untuk mengambil tindakan segera mahupun strategik demi menyelesaikan isu banjir yang menekan kehidupan rakyat .
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.