
JUALAN MANTAI AIDILFITRI DUN AYER LIMAU TAWAR AYAM RM5 SEEKOR
AYER LIMAU 14 Mac – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berpeluang mendapatkan ayam pada harga istimewa RM5 seekor menerusi program Jualan Mantai Aidilfitri yang akan diadakan pada 19 Mac ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jualan khas tersebut akan diadakan di perkarangan Japerun Ayer Limau sebagai usaha membantu rakyat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, sebanyak 5,000 ekor ayam akan dijual pada harga rendah bagi meringankan kos perbelanjaan rakyat khususnya penduduk di kawasan DUN Ayer Limau menjelang sambutan hari raya.
“Setiap orang dibenarkan membeli maksimum dua ekor ayam dengan harga RM10 sahaja.
“Program ini kita laksanakan bagi membantu rakyat membuat persiapan untuk menyediakan juadah hari raya selain memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat daripada jualan harga istimewa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui pada Program Cahaya Syawal DUN Ayer Limau di Balai Raya Kampung Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata program jualan mantai itu merupakan antara inisiatif pihaknya dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat terutamanya ketika musim perayaan yang kebiasaannya menyaksikan peningkatan harga barangan keperluan.
“Melalui program seperti ini kita dapat membantu rakyat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih mudah.
“Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk selain memberi kegembiraan kepada mereka dalam membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

