Sorting by

×

JUALAN MURAH SETIAP BULAN DI DUN PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 13 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bakal menjadi yang pertama di negeri mengadakan program jualan murah barangan keperluan asas, Melaka Madani Agro Market pada setiap bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, hasrat itu telah dibincangkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan dipersetujui, di mana ia akan bermula pada bulan ini dan sepanjang tahun depan dengan menjelajah di setiap kawasan dalam DUN Paya Rumput.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, usaha tersebut dilakukan tidak lain dan tidak bukan bagi meringankan beban lebih 90,000 penduduk di kawasan Paya Rumput.

“Untuk bulan ini kita telah adakan di Taman Krubong Jaya dan insya-Allah bulan depan di Tanjung Minyak dan seterusnya akan menjelajah ke kawasan-kawasan lain di bawah DUN Paya Rumput.

“Penganjuran program ini memerlukan perbelanjaan subsidi lebih RM10,000 bagi setiap penganjuran dan insya-Allah saya bersama Japerun Paya Rumput akan menanggung kos subsidi itu bagi membolehkan program jualan murah ini diadakan setiap bulan.

“Sebagai wakil rakyat kawasan, saya sentiasa berusaha membantu isi perut rakyat di kawasan ini, khususnya dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar. Pada masa sama, ia juga dapat membantu peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Pusat Penjaja Terbuka Krubong Jaya, yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman, di sini, hari ini.

Pada program itu, turut diadakan Melaka Madani Agro Market, di mana Rais turut mengagihkan lebih 200 ekor ayam secara percuma untuk penduduk yang beralamat di DUN Paya Rumput.

Selain itu, penduduk juga dapat memanfaatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga murah termasuklah ayam yang dijual pada harga RM8 seekor, selain pelbagai produk agro lain seperti sayur, daging dan ikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post USAHA TRANSFORMASI PENDIDIKAN MELAKA SUATU PELABURAN MENGUNTUNGKAN
Next post PELAJAR KERAP PONTENG SEKOLAH AKAN DITARIK KEISTIMEWAAN