
JUALAN PRIHATIN DUN PAYA RUMPUT DISERBU, TAWAR AYAM RM7 DAN DAGING RM25
PAYA RUMPUT 18 Mac – Jualan Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menerima sambutan luar biasa apabila orang ramai menyerbu khemah sebaik dibuka jam 3 petang di Pusat Penjaja Terbuka Paya Rumput, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, program itu turut dilaksanakan serentak di tiga lokasi lain iaitu Tanjung Minyak, Cheng dan Krubong.
Katanya, jualan berkenaan menawarkan ayam pada harga RM7 seekor dan daging lembu RM25 sekilogram (kg), jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
“Sebanyak 700 hingga 800 ekor ayam disediakan di setiap lokasi selain seekor lembu disembelih, menjadikan keseluruhan 3,200 ekor ayam dan empat ekor lembu ditawarkan.
“Sambutan di Paya Rumput sangat menggalakkan sehingga bekalan daging habis dalam tempoh kurang 25 minit, manakala jualan ayam diteruskan selagi stok masih ada,” katanya ketika ditemui pemberita di karnival jualan berkenaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah menjelang Aidilfitri.
“Walaupun ribuan ekor ayam disediakan, jumlah itu masih tidak mencukupi berikutan permintaan tinggi daripada penduduk setempat.
“Saya berharap program jualan seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan, bukan sahaja pada musim perayaan tetapi secara berkala setiap bulan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


