
KABINET LULUS KERTAS DASAR TUBUH SURUHANJAYA EKONOMI GIG MALAYSIA
PENGKALAN BATU 6 Mac – Kebajikan pekerja 1.2 juta pekerja gig di negara ini bakal terbela selepas jemaah menteri meluluskan kertas dasar penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia atau SEGiM.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, SEGiM adalah sebuah badan yang akan mengawal selia Akta Pekerja Gig yang telah diluluskan tahun lalu, selain turut menjadi kebajikan pekerja gig seperti pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.
Memandangkan rata-rata pekerja ini tidak dilindungi, beliau turut berharap dengan adanya suruhanjaya yang bakal ditubuhkan nanti, kesemua pekerja itu akan dicarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
“Kerajaan akan mencari jalan bagaimana caruman itu dapat dibuat, bukan sahaja oleh pekerja gig itu sendiri, bahkan pihak penyedia perkhidmatan mereka, di mana aspek-aspek inilah (caruman PERKESO dan KWSP) yang akan menjadi salah satu daripada tatakerja kepada SEGiM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka Bersama Timbalan Perdana Menteri 2026 di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, SEGiM juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengkaji dan menilai upah minima bagi pekerja gig di negara ini.
“Oleh kerana terdapat kadar yang berbeza-beza mengikut perbatian, kita berhasrat untuk mencari jalan penyelesaian agar kadar upah minima dapat ditetapkan supaya kebajikan pekerja gig ini terbela,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, suruhanjaya tersebut juga boleh memainkan peranan dalam memperkenalkan aspek ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dalam bidang TVET kepada pekerja gig.
Jelas beliau, kemahiran seumpamanya dapat membantu pekerja-pekerja ini menjadi tenaga kerja mahir yang dapat menjamin masa depan keluarga mereka selepas meninggalkan bidang kerja sementara itu nanti.
Terdahulu, pada majlis itu, Ahmad Zahid dan kenamaan turut meraikan kira-kira 300 pekerja gig Negeri Melaka.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


