Sorting by

×

KADAR KEPULIHAN KLIEN AADK DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 16 Julai – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka merekodkan kadar kepulihan klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) meningkat kepada 87 peratus pada tahun lalu, berbanding 85 peratus tahun sebelumnya.

Pengarahnya, Noor Azrimah Ahmad berkata, ia sekali gus menunjukkan keberkesanan program yang dilakukan dalam membantu proses pemulihan mereka yang pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Jelas beliau, setakat ini terdapat lebih 1,400 klien yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan bersama AADK di seluruh Negeri Melaka.

“Selain daripada perkhidmatan diberikan AADK untuk membantu klien ini, apa yang lebih penting adalah perubahan daripada diri mereka sendiri untuk kembali pulih.

“Meskipun begitu ada juga dalam kalangan klien ini yang kembali terjebak atau berulang tetapi peratusannya sangat rendah hanya kira-kira 20 peratus.

“Kita dapati sehingga kini, trend dadah yang masih menjadi pilihan utama adalah dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Peluang Kedua: ‘Back To Community’ Kita Bantu Kita Bersama Klien RPDK bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di Japerun Duyong, di sini, semalam.

Program itu telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut Noor Azrimah, penganjuran Program Peluang Kedua yang diadakan bersama komuniti secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma masyarakat terhadap klien AADK.

“Menerusi program WRUR ini di pihak AADK kami mengambil kesempatan untuk memberi perkhidmatan, di mana ia bukan sahaja dapat membentuk jati diri klien tetapi membuatkan mereka lebih yakin untuk bersama komuniti serta rasa dihargai.

“Malah kami juga berharap selain memberi rawatan dan pemulihan, AADK mampu memberi pencegahan kepada komuniti untuk menangani kes penyalahgunaan dadah ini dengan harapan supaya mereka tampil lebih cepat untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Jelasnya, selepas WRUR DUN Bemban dan Duyong, Program Peluang Kedua: ‘Back To Community’ Kita Bantu Kita Bersama Klien RPDK bakal diperluaskan ke penganjuran WRUR edisi seterusnya sehingga tahun hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post ‘DUYONGKITA’ JADI APLIKASI PILIHAN KOMUNITI
Next post WRUR DUN DUYONG TIDAK LUPAKAN INSAN ISTIMEWA