
KAJIAN JAMBATAN MELAKA-INDONESIA DIBENTANG KEPADA MPFN – KM
GADEK 11 Disember – Kerangka kajian pembinaan jambatan menghubungkan Melaka dan Indonesia akan dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, walau bagaimanapun cadangan awal dan kajian berkenaan akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum diangkat kepada MPFN bagi penilaian yang melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, ekonomi dan logistik.
Katanya, seterusnya perkara itu akan dibawa kepada pihak Indonesia bagi tindakan lanjut termasuk pelaksanaan projek secara bersama.
“Insya-Allah saya yakin apabila terlaksana nanti jambatan ini akan menjadi ‘the world gateway’ terakhir menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
“Dapatan kajian dijangka dibentangkan kepada saya pada Januari, ia melibatkan aspek keberkesanan selain kebolehupayaan jambatan ini sebagai katalis ekonomi Melaka dan Indonesia. Untuk pengetahuan semua titik paling hampir bagi jambatan ini di Melaka adalah di Pengkalan Balak, Masjid Tanah dengan jarak 47.7 kilometer (km).
“Sudah pasti lebih dekat lebih murah tetapi kesan ekonominya nanti amat besar. Ketika ini juga Kerajaan Negeri dalam dalam proses cadangan mengambil alih kawasan seluas 5,000 ekar (2,023.4 hektar) untuk pembangunan tapak perindustrian baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad (EPMB) Dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, Alor Gajah, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.
Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Pengerusi Eksekutif EPMB, Datuk Hamidon Abdullah dan Lembaga Pengarah EPMB, Tan Sri Hussain Ismail.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) akan menjadi pelengkap kepada jambatan berkenaan, sekali gus menghidupkan lagi ekonomi biru yang memberikan faedah kepada Melaka dan negara.
“Jarak perjalanan adalah sejauh 55 km dan mengambil masa selama 40 minit, bukan sahaja orang tempatan tetapi dijangka projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Sumatera termasuk umat Islam yang mahu menunaikan haji atau umrah.
“Dengan jaringan perhubungan efisien termasuk Lebuhraya Pantai Barat (WCE) masa perjalanan untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi lebih singkat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

