
KAK SOM PANTAU KEHIDUPAN ENAM BERADIK OKU
PENGKALAN BATU 10 Mac – Nasib enam beradik orang kelainan upaya (OKU) lembam yang sebelum ini hidup di rumah usang akan terus dipantau bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjaga.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kediaman enam beradik berusia 45 hingga 64 tahun itu sebelum itu bukan sahaja daif malah dipenuhi barangan lusuh dan terbuang.
Katanya, dengan kerjasama beberapa agensi terbabit pihaknya tampil membersihkan rumah termasuk persekitaran tempat tinggal adik beradik terbabit pada Februari lalu dan berjaya melupuskan lebih 11 tan sampah sarap.
“Sebelum ini saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada berbincang untuk menempatkan mereka di bawah rumah jagaan supaya kehidupan mereka lebih terjaga.
“Tetapi apabila Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) tampil untuk membantu dengan membina rumah baharu kita bersetuju untuk mereka tinggal di bawah satu bumbung dalam keadaan yang lebih selesa.
“Tetapi untuk mengelakkan mereka kembali kepada rutin sebelum ini sehingga menjejaskan kebersihan saya bersama-sama dengan kepimpinan kampung akan memantau mereka,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Kunci Rumah OKU Enam Beradik yang turut dihadiri Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali di Bukit Palah, di sini, semalam.
Menurut Kalsom, selain memantau kehidupan mereka, kebajikan enam beradik itu juga akan sentiasa diberi perhatian memandangkan kesemua mereka juga adalah penerima bantuan JKM.
“Kami berharap dengan kediaman baharu yang akan dilengkapi kelengkapan rumah, adik-beradik ini dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih sempurna dan terjamin.
“Malah lebih penting, sambutan Aidilfitri tahun ini mereka dapat berkumpul bersama-sama dan menyambut Syawal dengan lebih bermakna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

