
KAK SOM PRIHATIN, MAHU PPDK DI MELAKA DIBERI PERHATIAN BERTERUSAN
KLEBANG 8 Oktober – Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menilai keperluan di semua 18 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Melaka bagi memastikan kemudahan yang disediakan berada pada tahap terbaik.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, pemantauan berterusan penting bagi memastikan setiap PPDK dapat beroperasi dengan lebih efisien serta memberi keselesaan kepada pelatih dan tenaga pengasuh.
“Kita akan pastikan setiap PPDK di Melaka menerima perhatian sewajarnya. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) banyak membantu dan mereka betul-betul menjalankan tanggungjawab dalam menguruskan pusat-pusat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Penyerahan Kad OKU Digital dan Sambutan Hari Lahir Pelatih-Pelatih PPDK Kampung Pinang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hasim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Kalsom turut menzahirkan rasa teruja dengan pengoperasian PPDK Kampung Pinang yang menempatkan 75 klien dibantu 12 pengasuh, terdiri daripada pelbagai kategori Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk autisme dan kecacatan fizikal.
“Saya nampak semangat mereka luar biasa. Walaupun jumlah klien ramai, pengurusan di sini teratur dan mereka dibahagikan mengikut jadual kelas,” katanya.
Tambah beliau, antara keperluan yang dikenal pasti ialah peralatan fisioterapi seperti alat bantuan berdiri (standing frame) bernilai kira-kira RM5,000, yang akan dipertimbangkan untuk bantuan segera.
“Datuk Wira Lim Ban Hong juga sangat prihatin terhadap perkara ini dan kita akan cuba menambah baik kemudahan di pusat berkenaan.
“Penubuhan PPDK memberi peluang kepada kanak-kanak OKU mendapatkan asuhan, terapi dan kemahiran termasuk menjahit serta menjana pendapatan kecil, sekali gus membantu ibu bapa yang tidak mampu mengurus anak-anak mereka sepenuh masa di rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.