Sorting by

×

KAMPUNG ANGKAT MABIMS: PENGHORMATAN BUAT KAMPUNG PULAU

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Oktober – Pemilihan
Kampung Pulau sebagai lokasi perintis Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) disifatkan membawa makna cukup besar kepada warga kampung berkenaan dan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai anak jati kampung tersebut, ia disifatkan sebagai satu penghormatan yang datang bersama amanah, untuk melihat kampung tersebut membangun dengan acuan Islam yang progresif dan inklusif.

Jelas beliau, inisiatif itu secara tidak langsung menjadi wadah penting untuk mengukuhkan pelaksanaan dasar Islam di peringkat akar umbi, dengan penglibatan aktif lebih 350 penduduk yang kesemuanya beragama Islam.

“Inilah pendekatan yang ingin diterjemahkan melalui Program Kampung Angkat MABIMS… di mana dasar Islam bukan sekadar di peringkat pentadbiran, tetapi benar-benar mengalir dalam denyut nadi masyarakat, di rumah, di surau dan dalam setiap lapisan kehidupan umat Islam.

“Ia menjadi bukti bahawa kerjasama MABIMS bukan hanya terhad kepada dasar pentadbiran, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata termasuk aktiviti pendidikan, sosial, ekonomi dan pembangunan komuniti Islam di peringkat kampung.

“Justeru, Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik serta menyokong penuh pelaksanaan program seumpama ini kerana ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Melaka sebuah negeri Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur; sebuah negeri yang makmur sejahtera dan mendapat keredaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti ‘Semanis MABIMS Seharum Serantau’ Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam Mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama (Kheu) Mohammad Rosli Ibrahim dan Kepala Biro Hukum Dan Kerjasama Luar Negeri Republik Indonesia Mewakili Menteri
Agama Republik Indonesia Imam Syaukani.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, di peringkat negeri, Kerajaan Negeri terus komited menjadikan agenda pemerkasaan syiar agama sebagai tunjang utama dalam dasar pembangunan negeri.

Justeru, ujar beliau, pelbagai dasar dan inisiatif telah digerakkan, termasuk hampir 15,000 program pemerkasaan agama di seluruh negeri bagi memperluas syiar Islam dan memberi manfaat kepada lebih 700,000 umat Islam di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post MIMBJ 2025 ANGKAT MELAKA DESTINASI SUKAN LASAK
Next post BALAI ISLAM KAMPUNG PULAU JADI PUSAT LATIH IMAM MUDA