Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL : 80 PERATUS PENDUDUK KAMPUNG PERIGI HANG TUAH ADA QR

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DUYONG 31 Mac – Inisiatif Kampung Digital diperkenalkan Kerajaan Negeri terus menunjukkan perkembangan positif apabila kira-kira 80 peratus penduduk Kampung Perigi Hang Tuah, di sini, telah menerima kod QR bagi alamat kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Perigi Hang Tuah Hurmazan Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka, Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.

Menurutnya, sokongan turut diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, setakat ini kira-kira 80 peratus daripada lebih 500 penduduk kampung ini telah menerima kod QR.

“Baki 20 peratus lagi melibatkan penambahan rumah baharu serta pembetulan nama jalan yang masih dalam proses pengemaskinian.

“Inisiatif ini membantu mengenal pasti setiap rumah penduduk dengan lebih tepat selain memudahkan urusan pengumpulan data isi rumah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kampung Perigi Hang Tuah di sini.

Beliau berkata, sebelum ini alamat penduduk hanya menggunakan penanda lama seperti kilometer atau lokasi umum, namun kini setiap rumah telah dilengkapi nombor dan nama jalan yang lebih sistematik.

“Dengan adanya QR ini, urusan penghantaran barang menjadi lebih mudah kerana setiap rumah boleh diakses hanya dengan mengimbas kod tersebut.

“Selain itu, maklumat penghuni juga dapat direkodkan dengan lebih tersusun untuk tujuan pengurusan dan perancangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan program pertukaran alamat pada kad pengenalan yang diadakan secara komuniti dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 4 Januari lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 175 penduduk hadir.

“Kita lihat sambutan sangat tinggi, dari pagi hingga malam orang kampung datang tanpa henti sehingga pihak JPN sendiri terpaksa berehat seketika.

“Program ini memudahkan penduduk kerana pertukaran alamat dan kad pengenalan dibuat secara percuma,” katanya.

Mengulas lanjut, Hurmazan berkata, pelaksanaan Kampung Digital juga dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan di kawasan tersebut, khususnya di Perigi Hang Tuah yang semakin menerima kunjungan pelancong.

“Kita berharap pembangunan Kampung Hang Tuah dapat diteruskan ke fasa seterusnya dan terus merancakkan lagi sektor pelancongan di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

243
Kongsi :
Previous post WRUR PERKASA GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post 3 TAHUN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI: ‘BIAR RAKYAT MENILAI’