
KAMPUNG FELDA TUN GHAFFAR AIR KANGKONG TERIMA ENAM PROJEK PEMBANGUNAN KOMUNITI
JASIN 15 Disember – Pemilihan Kampung Felda Tun Ghaffar Air Kangkong sebagai Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 memfokuskan enam skop projek dan program pembangunan komuniti memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN) Mansor Mohamad berkata, projek diluluskan Kementerian Kewangan (MoF) itu merangkumi kerja menaik taraf balai raya melibatkan pendawaian elektrik, pencahayaan, mengecat bangunan dan tandas.
Katanya, projek itu juga melibatkan kerja-kerja pembaikan komponen rosak dan menaik taraf infrastruktur gelanggang futsal.
Mansor berkata, skop lain melibatkan kerja menaik taraf longkang dan lampu, pembinaan dataran serbaguna di hadapan masjid bagi penganjuran program serta parkir kenderaan, menggantikan papan tanda baharu serta landskap selain pelaksanaan program kemasyarakatan.
“Satu lagi projek di bawah JLN adalah Program Taman Rekreasi MADANI (TRM) Tahun 2025 bagi cadangan naik taraf landskap Taman Rekreasi Kampung Felda Air Kangkong yang siap sepenuhnya pada 4 Ogos 2025.
“Projek yang bermula pada 21 April 2025 itu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 dengan nilai kontrak RM195,475,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 di Felda Tun Ghaffar Air Kangkong, di sini, pada 13 Disember lalu.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Penyelaras Japerun DUN Bemban Mohd Raziff Yakop.
Katanya antara kemudahan landskap disediakan termasuk penambahbaikan padang melalui penanaman rumput dan pokok, pembinaan laluan pejalan kaki, penyediaan bangku taman serta pemasangan lampu solar.
“Kemudahan itu diharap dapat menyediakan ruang riadah yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk Kampung Felda Air Kangkong.
“JLN sentiasa mendokong agenda Malaysia MADANI serta fokus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam merealisasikan aspirasi ‘Meneraju Kemakmuran Komuniti Bandar dan Persekitaran Mampan.
“JLN komited memperkukuh kesejahteraan komuniti, memperindah landskap serta memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Untuk rekod pada 10 Mac 2025, MoF dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan Kampung Felda Tun Ghaffar Air Kangkong sebagai Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 di bawah JLN.
Susulan itu, JLN telah mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan MPJ untuk bekerjasama dalam pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di kampung berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


