Sorting by

×

KAMPUNG PERMAI MACHAP UMBOO BARU JADI TUMPUAN PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MACHAP JAYA 22 Januari – Kesepakatan dan kreativiti penduduk dalam menghias kawasan sekitar sempena sambutan Tahun Baharu Cina dilihat berpotensi menjadikan Kampung Permai Machap Umboo Baru antara destinasi tarikan pelancong.

Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari berkata, usaha menghias dan menceriakan kampung itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian penduduk setempat dan rakyat Melaka malah pelancong luar.

“Dengan hiasan yang ditampilkan begitu juga inovasi dilakukan hampir saban tahun di Kampung Permai Machap Umboo Baru, ia boleh menjadi (destinasi) tarikan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi pelancong luar.

“Kita tahu kawasan ini boleh menjadi tarikan pelancong kalau dilihat dengan hiasan serta inovasi yang ditampilkan malah sebenarnya ini adalah tarikan yang luar biasa menarik,” katanya .

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian ketika hadir pada Pelancaran Hiasan Tahun Baharu Cina Kampung Permai Machap Umboo Baru, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Adly turut berharap lebih banyak kampung di Alor Gajah tampil dengan idea kreatif seperti itu dalam memanfaatkan sambutan perayaan sebagai medium memperkukuh perpaduan komuniti.

“Inisiatif meraikan sambutan perayaan awal sebulan sudah beberapa tahun dilaksanakan oleh penduduk Kampung Permai Machap Umboo Baru, saya ucapkan tahniah atas kesepakatan yang baik serta kerjasama semua pihak.

“Saya menyeru kepada masyarakat agar dapat menjadikan ini sebagai contoh bagaimana komuniti setempat berganding bahu dan bergabung menghias kawasan kampung.

“Bukan senang kawasan kampung untuk orang luar atau pengunjung mahu datang tetapi pendekatan dibuat oleh komuniti setempat dengan melakukan banyak inovasi sempena Tahun Baharu Cina mampu menjadikan ia destinasi tarikan ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR SUMBANGAN BAIK PULIH SURAU, NAIK TARAF TANAH WAKAF PERKUBURAN