
KANAK-KANAK LEMAS DI KOTA SYAHBANDAR MENINGGAL DUNIA
SERI NEGERI 22 Julai – Kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang tidak sedarkan diri selepas ditemukan lemas di kolam renang inap desa di sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana Ahad lalu menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Perkara itu disahkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini, hari ini.
“Saya menghubungi Pengarah Hospital Melaka bagi mendapatkan perkembangan keadaan kanak-kanak itu dan beliau mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi,” katanya.
Mengulas lanjut Hee Sem berkata, mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka berikutan mengalami kegagalan fungsi otak dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
“Jenazah kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada waris kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi untuk dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor bagi urusan pengebumian,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila kanak-kanak berkenaan, Ahmad Firdaus Iqbal Ahmad Ridzuan dilaporkan kritikal selepas lemas di kolam renang inap desa kondominum terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.