Sorting by

×

KAPAL ABAD KE-13 DITEMUI DI PULAU MELAKA?

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 31 Oktober – Bangkai kapal dipercayai dari abad ke-13 ditemui di Pulau Melaka hasil ekskavasi yang dijalankan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama Jabatan Warisan Negara.

Ia menjadi satu penemuan penting untuk negara dan Negeri Melaka sekali gus menguatkan kisah kehebatan negeri ini dalam sektor maritim suatu ketika dahulu.

Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara Ruzairy Arbi berkata, hasil ekskavasi yang dijalankan dalam tiga fasa, beberapa komponen kayu kapal telah ditemui, antaranya seperti badan dan lantai kapal.

Katanya, hasil kajian yang dilakukan mendapati kayu berkenaan adalah dari jenis kayu saga iaitu kayu bercirikan nusantara, selain terdapat juga campuran kayu merbau yang ditemui.

“Setakat ini, kita masih lagi melihat keperluan yang ada untuk merungkai sejarah kapal menerusi data-data dan tinggalan yang ditemui oleh ahli arkeologi berdaftar.

“Kita merancang untuk membawa keluar komponen-komponen ini dan menjalankan konservasi untuk melihat bagaimana kapal ini dibina,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak ekskavasi di Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) merangkap Ahli Arkeologi Berdaftar (AAB) Jabatan Warisan Negara Drs. Mohd Nasruddin Rahman serta Ketua Projek Ekskavasi Muhammad Termizi Hasni.

Img 20251031 wa0024
ANTARA tinggalan yang dipercayai lantai kapal yang ditemui di tapak ekskavasi.

Sementara itu, Muhammad Termizi berkata, kapal yang ditemui itu dianggarkan bersaiz 50 hingga 70 meter, sekali gus boleh dikategorikan sebagai kapal bersaiz besar yang hampir menyamai saiz Mendam Berahi.

Bagaimanapun, ujar beliau, pengesahanan itu hanya boleh dibuat selepas semua objek atau tinggalan dikeluarkan dari tapak ekskavasi.

“Buat masa ini, kita melakukan ekskavasi di kawasan seluas 12×12 meter dan berkemungkinan kita akan meluaskan lagi radius ekskavasi bagi mengeluarkan tinggalan-tinggalan yang ada di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post TRAGEDI SIRAM POKOK, REMAJA DITEMUI LEMAS DALAM KOLAM
Next post TINGKAT KESEDARAN WANITA MELAKA CEGAH KANSER PAYUDARA