
KAPAL TANGKI BAWA 50 TAN METRIK DIESEL DITAHAN DI PERAIRAN MELAKA
AYER KEROH 8 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan sebuah kapal tangki yang membawa 50 tan metrik diesel bernilai hampir RM180,000 tanpa dokumen sah di perairan Melaka, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kapal tersebut ditahan bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Operasi MURNI serta Operasi TIRIS 3.0 pada jam 3.45 petang di perairan Selat Melaka.
Katanya, sebuah kapal tangki mencurigakan dikesan sedang bersauh pada kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Pulau Melaka sebelum pasukan penguat kuasa bertindak menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa kira-kira 50 tan metrik bahan api disyaki minyak diesel tanpa dokumen kebenaran yang sah, selain dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 21 hingga 62 tahun.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati nakhoda gagal mengemukakan invois pembelian dan mengisytiharkan kargo dokumen Pelepasan Pelabuhan (Port Clearance),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa permit yang sah dan gagal mematuhi peraturan pengisytiharan kargo.
“Maritim Malaysia menegaskan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan maritim negara dan mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan keselamatan perairan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


