Sorting by

×

KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT SATUKAN KOMUNITI DALAM SUASANA HARMONI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Penganjuran Karnival Demi Paya Rumput menerima reaksi positif apabila rata-rata penduduk menyifatkannya sebagai medan terbaik merapatkan silaturahim antara komuniti selain sarat dengan pengisian bermanfaat buat semua lapisan usia.

Penduduk Taman Krubong Indah, Mohd Pian Mohd Noor, 44, meluahkan rasa gembira apabila mendapat tahu mengenai penganjuran karnival itu

Jelasnya, pengisian rohani seperti Paya Rumput Berselawat dan Ceramah Perdana merupakan antara program yang dinanti selain sukan rakyat yang ditunggu-tunggu anak-anaknya.

“Bila ada karnival ini, semua lapisan usia disantuni, macam kami ibu bapa menunggu majlis ilmu, anak-anak tidak sabar mahu sertai aktiviti sukan rakyat.

“Pada saya ia bukan sahaja memberi ruang anak-anak beriadah dalam suasana selamat, malah dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.

“Jarang ada program besar yang himpunkan komuniti setempat dengan pengisian menyeluruh seperti ini, jadi kami sekeluarga memang terlibat dan menanti setiap program,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Paya Rumput Berselawat dan Ceramah Perdana di Perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu Salwani Awang, 41, dari Taman Bertam Impian berharap penganjuran Karnival Demi Paya Rumput dapat diteruskan dan diadakan secara berkala pada masa akan datang.

Katanya, karnival itu antara inisiatif yang berjaya menyatukan penduduk setempat dalam suasana harmoni, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Pelbagai program yang diadakan dalam satu karnival yang pada saya ia menggabungkan elemen kerohanian, kekeluargaan dan komuniti amat signifikan dalam memperkukuh hubungan antara penduduk di DUN Paya Rumput.

“Pengisian karnival ini bukan sekadar hiburan sahaja ditekankan, tetapi ada nilai tambah terutama dengan pengisian kerohani dan aktiviti untuk kanak-kanak.

“Saya berharap lebih banyak program sebegini dianjurkan selepas ini kerana ia memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post TABUNG AMAL PENDIDIKAN ANAK-ANAK DUN PAYA RUMPUT DILANCARKAN
Next post BOMBA MELAKA PERGIAT PEMERIKSAAN KESELAMATAN DI PREMIS TUMPUAN