
KARNIVAL KAWAN PTPTN MELAKA DIDIK ANAK-ANAK MENABUNG
BANDA HILIR 27 Julai – Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) PTPTN Negeri Melaka 2025 berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti interaktif bertujuan memupuk minat menabung dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
Buat julung kalinya diadakan di negeri ini, karnival yang berlangsung serentak di seluruh negara itu mendapat sambutan luar biasa daripada sekolah-sekolah seluruh Melaka.
Pengarah PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata, program itu memberi keutamaan kepada sekolah yang menyertai Kelab Simpanan SSPN (KSP) namun turut membuka peluang kepada semua yang berminat.

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan, kita turut mengadakan pertandingan ‘action song’ bertemakan ‘our heritage’ yang mendapat penyertaan lapan buah sekolah daripada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Setiap sekolah yang menyertai kelab simpanan ini menerima pelbagai manfaat termasuk sumbangan ‘one-off’ RM1,000 dan bantuan untuk dekorasi sudut SSPN di sekolah,” katanya ketika ditemui di tapak penganjuran program itu di Mahkota Parade, di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Mesyuarat Pengurusan (AMP) PTPTN, Esrifaridz Subohi.
Selain pertandingan ‘action song’, karnival tersebut turut menganjurkan pertandingan mewarna yang berjaya menarik penyertaan lebih 140 pelajar berbanding sasaran awal 100 peserta.

Turut diadakan persembahan hiburan seperti ‘clown and magic show’ selain penyediaan kaunter PTPTN yang menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif untuk pembukaan akaun baharu dan penambahan deposit SSPN.
Mengulas Lanjut Mas Anisah Ayu berkata, setakat ini sebanyak 13 buah sekolah di Melaka telah menyertai Kelab Simpanan SSPN, sekali gus menunjukkan peningkatan daripada hanya tiga sekolah pada awal pelaksanaannya.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya lima sekolah baharu menyertai kelab ini menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.