
KARNIVAL MASJID TANAH KAMPUNG KITA BAWA ‘VIBE’ KAMPUNG
LENDU 5 Disember – Penganjuran Karnival Masjid Tanah Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin bermula 18 hingga 21 Disember nanti, bakal menampilkan pelbagai keunikan yang ada di semua lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran karnival itu bertujuan untuk mengeratkan jaringan persahabatan, selain mempromosikan Masjid Tanah sebagai sebuah destinasi yang kaya dengan pelbagai tarikan termasuk seni dan budaya.
“Kita juga harus bangga menjadi orang Masjid Tanah yang melahirkan melahirkan ramai tokoh yang hebat. Menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin negeri ini untuk melahirkan lebih ramai lagi tokoh berjaya pada masa hadapan.
“Selain sukan pelbagai peringkat karnival ini juga melibatkan penganjuran banyak lagi program seperti Masjid Tanah Berselawat, kenduri rakyat dan gunting rambutan percuma,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Antara Jabatan & Sukan Veteren Masjid Tanah Bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, petang tadi.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Menteri Melaka ke-12 yang juga Adun Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Adun Ayer Limau.
Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

