
KARNIVAL ‘SUKAN ORANG KITA’ JADI ACARA TAHUNAN, DIPERLUAS KE PERINGKAT PARLIMEN
ASAHAN 7 April – Penganjuran Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) dicadang untuk dijadikan sebagai acara tahunan di peringkat Parlimen Alor Gajah sebagai usaha memperkasa perpaduan serta memartabatkan budaya komuniti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, cadangan itu hasil perbincangan bersama dua lagi wakil rakyat di bawah Parlimen Alor Gajah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya dan Gadek.
“Berhubung dengan hasrat ini, kami wakil rakyat di bawah Parlimen Alor Gajah sudah berbincang untuk jadikan ia sukan tahunan peringkat Parlimen.
“Walaupun dinamakan sukan peringkat Parlimen kami akan turut libatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain seperti DUN Taboh Naning yang turut mempunyai sebuah kampung Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Sukan Orang Kita (Masyarakat Orang Asli) yang dianjurkan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan yang berlangsung di Padang Awam Kampung Masjid Baru, di sini, pada Isnin.
Terdahulu, karnival itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan turut hadir Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, meskipun pertama kali dianjurkan bersempena program WRUR, beliau tidak menyangka karnival itu mendapat sambutan luar jangkaan apabila dimeriahkan dengan kehadiran 300 masyarakat Orang Asli.
“Dengan sambutan positif ini ia memberi keyakinan kepada kami untuk menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan sekali gus dapat memperkukuhkan hubungan komuniti.
“Menerusi penganjuran ini kita ketengahkan permainan sukan tradisi dan ia turut mendapat kerjasama JAKOA serta Bahagian Promosi Pelancongan (BPP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


