
KARNIVAL TENTERA BERSAMA RAKYAT, BAWAKAN PELBAGAI ACARA MENARIK
BANDARAYA MELAKA 20 Januari – Persiaran Encore Melaka sekali lagi bakal menjadi tumpuan ramai apabila dipilih lokasi penganjuran Karnival Tentera Bersama Rakyat Sempena Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK 2/2025 yang akan bermula esok.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, karnival yang julung kali diadakan di Melaka itu akan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk penglibatan persembahan daripada anggota tentera.
Shadan berkata, karnival selama lima hari yang akan berakhir pada Ahad ini adalah hasil kerjasama antara MBMB bersama Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Kem Sungai Udang.
“Sepanjang berlangsungnya karnival ini pelbagai pengisian program menarik akan berlangsung termasuk pertunjukan aset tentera dan demonstrasi kepakaran.
“Program ini menggabungkan pelbagai elemen antaranya patriotisme, pembelajaran, kemasyarakatan dan pastinya pelancongan yang akan menggamit kedatangan pengunjung dan pelancong ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran langsung di Melaka FM bersama Komandan Pulpak, Kolonel Nordin Abu, di sini, hari ini.
Menurut Shadan, menerusi penganjuran ini ia membuka ruang lebih luas kepada orang awam untuk mendekati dan memahami peranan tentera darat khususnya secara dekat.
“Antara persembahan yang akan berlangsung adalah Demonstrasi Serigala Perang, terjunan bebas (freefall), Persembahan Army Red Warrior dan Pameran Ikhtiar Hidup Pertempuran.
“Turut akan berlangsung pada Sabtu adalah pengambilan Askar Wataniah untuk itu kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk hadir dan merasai sendiri pengalaman melihat secara langsung persembahan daripada pasukan keselamatan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


