
KAUNSELOR SEKOLAH ‘EJEN’ PROMOSI TVET
BANDA HILIR 21 November – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Melaka akan terus memperkukuhkan pembangunan TVET dengan mengadakan sesi perjumpaan bersama kaunselor sekolah.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha itu bertujuan memastikan segala maklumat berkaitan pendidikan TVET dapat disampaikan secara meluas dan tepat kepada pelajar.
“Sebelum ini Majlis TVET Negeri Melaka pernah mengadakan perjumpaan bersama dengan semua pengetua sekolah dan kali ini kami mengorak langkah apabila bersama-sama dengan kaunselor dalam satu sesi yang lain.
“Langkah ini adalah bagi membantu dari aspek penyampaian maklumat dan memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah khususnya pengetahuan tentang pendidikan TVET.
“Selain itu perjumpaan yang diadakan juga secara tidak langsung dapat memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran kaunselor tentang peranan serta inisiatif Majlis TVET Negeri Melaka dalam memperkasa pendidikan dan kerjaya berasaskan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Serenitea Hi-Tea 2025: Santai Bersama, Menginspirasi Jiwa, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Khaidhirah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis TVET Negeri Melaka berkata, penglibatan kaunselor sekolah amat penting kerana kumpulan ini merupakan barisan hadapan dan berperanan dalam menyampaikan maklumat awal mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET.
“Mungkin di peringkat kita tiada isu untuk mengetahui atau faham apa itu TVET, tetapi di luar sana masih lagi ada maklumat atau perkongsian tentang TVET yang belum diketahui.
“Untuk itu kita memerlukan ejen penyampaian maklumat yang terbaik sekali gus dapat membantu memberikan pendedahan secara terperinci dan baik kepada pelajar tentang bidang TVET ini,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk disumbangkan kepada sekolah yang terpilih bagi menjayakan program berkaitan TVET.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

