
KAWASAN INDUSTRI BAHARU: IKHTIAR MELAKA TARIK PELABUR, TINGKAT PELUANG PEKERJAAN
AYER KEROH 2 Oktober – Pembangunan tiga kawasan perindustrian baharu di Melaka dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, seiring usaha Kerajaan Negeri meningkatkan daya saing ekonomi dan pelaburan.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pembangunan kawasan perindustrian baharu itu dilakukan susulan 22 kawasan perindustrian sedia ada di Melaka sudah hampir penuh dengan kapasiti pelabur.
Beliau berkata, tiga kawasan perindustrian baharu itu adalah MCORP Hi-Tech Park, Masjid Tanah dengan keluasan 2,023.4 hektar (5,000 ekar); German Technology Park, Ayer Keroh dengan keluasan 364.2 hektar (900 ekar) dan seluas 243.5 hektar (601.7 ekar) bagi pembangunan Elkay 2.0 di Jasin.
“Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk membuka kawasan perindustrian baharu merangkumi ketiga-tiga kawasan iaitu di bahagian tengah, utara dan selatan Negeri Melaka.
“Kita membuka ruang lebih baik supaya dapat menarik lebih ramai pelabur datang ke Melaka dan pembukaan industri ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Industry Connect @Melaka 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin, di sebuah hotel, di Ayer Keroh, hari ini.
Dalam pada itu, Khaidhirah berkata, tiga kawasan industri baharu itu merupakan perancangan bersifat jangka panjang bagi memastikan Melaka kekal menjadi destinasi pilihan pelabur asing serta tempatan.
“Dengan pembangunan kawasan perindustrian ini ia akan menyediakan tapak industri yang lebih teratur, dengan infrastruktur serta kemudahan lebih baik,” katanya.
Sementara itu beliau menyambut baik inisiatif seperti MyMahir yang menyediakan pandangan industri serta peluang peningkatan kemahiran semula dan inisiatif Malaysia Critical Occupations List (MyCOL) yang mengenal pasti pekerjaan kritikal di Malaysia serta memetakan kerjaya berpermintaan tinggi untuk membimbing perancangan tenaga kerja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.