
KBS LULUS 18 PROJEK NAIK TARAF FASILITI SUKAN MELAKA
SERI NEGERI 22 Julai – Sebanyak 18 permohonan bagi kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan fasiliti sukan di Melaka telah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tahun 2025.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, permohonan itu melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM940,000 menerusi peruntukan pembangunan projek kecil KBS.
“Kelulusan itu adalah hasil daripada 133 permohonan dikemukakan oleh pejabat Exco bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, melibatkan keperluan kemudahan sukan daripada 28 Japerun di seluruh negeri. Permohonan ini telah diperhalusi dan disenaraikan mengikut keutamaan dan keperluan.
“Justeru, saya meminta agar semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan memberikan kerjasama agar peruntukan ini dapat disalurkan segera dan kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai kemudahan awam sukan pada hari kedua Persidangan Kedua Penggal Keempat DUN Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.4 juta kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, dengan setiap DUN menerima RM50,000 bagi tujuan membaik pulih fasiliti sukan.
“Antara projek telah dilaksanakan ialah DUN Kuala Linggi melibatkan dana RM30,000 untuk membaik pulih gelanggang futsal Kampung Permatang dan RM20,000 pula bagi pembinaan tembok padang petanque Kampung Telok Gong.
“Bagi DUN Pengkalan Batu kerja membaik pulih kompleks dan gelanggang futsal Japerun Pengkalan Batu, diikuti DUN Sungai Udang menaik taraf gelanggang futsal Japerun Sungai Udang dan DUN Lendu membaik pulih dan menaik taraf dua gelanggang sukan,” katanya.
Katanya lagi, melalui Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), Kerajaan Negeri juga menyelia beberapa fasiliti sukan utama.
“Terdapat lima fasiliti khusus untuk atlet antaranya Pusat Latihan Angkat Berat, Ayer Leleh, Dewan Gimnastik, Ayer Leleh, Lapang Sasar Memanah, Ayer Keroh, Pusat Perahu Layar Negeri, Pengkalan Balak dan Lapang Sasar Menembak, Ayer Keroh.
“Sementara tiga fasiliti dibuka kepada orang awam mengikut kekosongan adalah Dewan Badminton MSNM, Ayer Keroh, Dewan Serbaguna MSNM, Ayer Leleh dan Gelanggang Lawn Bowls MSNM, Krubong,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus mendapatkan maklum balas daripada KBS bagi memastikan semua permohonan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan dan diluluskan dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.