Sorting by

×

KEBAJIKAN RAKYAT MELAKA TERUS DIPERKASA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 4 Disember – Seramai 29,694 penerima bantuan di negeri ini menerima manfaat menerusi pelbagai bentuk inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.49 juta setakat 30 November 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menghadapi perubahan demografi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat semua lapisan terjamin.

“Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 dengan 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas. Perubahan ini memerlukan persediaan awal dan pendekatan dasar yang lebih strategik.

“Justeru, kita menyalurkan bantuan kebajikan kepada mereka yang layak dalam pelbagai bentuk sokongan khusus untuk meringankan beban dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kebajikan: Melaka Prihatin, Rakyat Disantuni sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU & Hari Kanak-Kanak serta Perasmian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 106,900 warga emas di Melaka dengan Daerah Alor Gajah tersenarai antara 10 daerah menua baharu yang mana penduduk berusia 65 tahun ke atas mencapai 7 peratus pada 2025.

“Jumlah ini sekali gus memberi gambaran jelas tentang kepentingan memperkukuh ekosistem sokongan warga emas di negeri ini.

“Atas usaha itu, kita juga komited menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan termasuk pembangunan dan penyediaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) melalui tiga unit PAWE@3A.

“Beralih kepada golongan OKU, setakat November 2025 seramai 37,356 orang telah berdaftar dengan JKM Melaka dan sejumlah RM300,000 telah disalurkan bagi Program Pembangunan Anak Autisme bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

264
Kongsi :
Previous post EMPAT SRA JAIM PERINTIS ITHBAT KAFA PRA TAHFIZ