Sorting by

×

KEBANGKITAN HOKI MELAKA DI PIALA TUN ABDUL RAZAK 2025

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 11 Oktober – Pasukan Hoki Melaka mencatat keputusan membanggakan apabila menamatkan saingan Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2025 dengan pencapaian cemerlang bagi kategori lelaki dan wanita.

Presiden Persatuan Hoki Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pada edisi ke-63 kategori lelaki, Melaka berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan, manakala, bagi kategori wanita edisi ke-10, Melaka turut meraih keputusan membanggakan dengan menamatkan saingan di tempat keempat.

“Pencapaian tahun ini merupakan peningkatan ketara berbanding tahun pertama saya mengambil alih kepimpinan persatuan.

“Tahun pertama saya ambil alih sebagai Presiden Persatuan Hoki Melaka, pasukan lelaki hanya berada di tangga ke-12.

“Namun tahun ini, kita berjaya melonjak ke tempat ketiga yang mana ini merupakan pencapaian luar biasa yang membuktikan kesungguhan pemain, jurulatih dan barisan pengurusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20251011 wa0148
PASUKAN hoki wanita Melaka turut meraih kejayaan membanggakan.

Mengulas lanjut, Rais turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong pasukan hoki negeri.

Jelasnya, antara yang terlibat seperti Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, pegawai teknikal, serta penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kita akan terus memperkukuh program pembangunan akar umbi dan memperhebat persiapan menjelang kejohanan musim depan.

“Fokus kita seterusnya adalah menyediakan pasukan hoki lelaki dan wanita ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Selangor tahun hadapan,” katanya.

Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-63 (lelaki) dan ke-10 (wanita) tahun ini berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 hingga 11 Oktober lalu.

Kejohanan peringkat kebangsaan itu membariskan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara menjadikannya antara pentas hoki paling berprestij di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post WRUR: MEMANCING SAMBIL BERAMAL DEMI PAHLAWAN NEGARA
Next post WRUR: KLEBANG BERGEMA ALUNAN SELAWAT