
KEDAI ELEKTRIK PERTAMA PERKASA PRODUK BUATAN MALAYSIA
AYER KEROH 1 Disember – Kedai barangan elektrik pertama anak syarikat Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), DMDI Ventures yang dilancarkan di Kota Cemerlang semalam menjadi pemangkin baharu dalam merancakkan rantaian bekalan perkakasan elektrik tempatan.
Ia sekali gus membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh sokongan perniagaan di Melaka.
Pengurus DMDI Ventures, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, pembukaan outlet pertama itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan produk keluaran jenama Selamat, iaitu barangan elektrik 100 peratus buatan Malaysia sejak tahun 1999.
Katanya, keyakinan terhadap produk tersebut terletak pada kualiti tinggi serta pematuhan ketat terhadap piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
“Apa yang kami jual adalah produk tempatan berkualiti tinggi yang sudah lama dieksport ke Amerika Syarikat, Arab Saudi dan beberapa negara lain.
“Keyakinan kami datang daripada kualiti serta pematuhan SIRIM terhadap setiap barangan,” katanya selepas Majlis Pembukaan Kedai Elektrik DMDI Ventures yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang juga Presiden DMDI, di Kota Cemerlang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Norsabrina berkata, kedai tersebut menawarkan lebih 260 jenis produk elektrik, merangkumi kabel, soket, fius, perkakasan industri hinggalah kepada barangan siap seperti kipas angin, cerek elektrik dan periuk nasi.
“Selain pengguna umum, outlet berkenaan turut menyasarkan pasaran lebih luas termasuk kontraktor, perunding elektrik, syarikat penyelenggaraan, agensi kerajaan serta anak syarikat kerajaan negeri.
“Pembukaan kedai itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan, malah menyumbang kepada ekosistem ekonomi Melaka melalui peningkatan permintaan runcit serta hubungan perniagaan antara kontraktor dan pengeluar tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

