Sorting by

×

KEGAGALAN BAKAR SEMANGAT MOHD SUKUR UNTUK BANGKIT JADI USAHAWAN BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Cabaran hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) dan gagal berulang kali dalam perniagaan, tidak membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 41, cepat mengalah, sebaliknya percaya keazaman serta kesungguhan adalah pembuka jalan kepada kejayaan.

Kecekalan Mohd Syukur dalam bidang perniagaan mendapat perhatian dan diiktiraf apabila dia diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh OKU (Usahawan) Negeri Melaka 2025 pada Karnival Kebajikan: Melaka Prihatin, Rakyat Disantuni, sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU & Hari Kanak-Kanak serta Perasmian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, pada Khamis.

Lebih istimewa apabila anugerah penuh bermakna buat Mohd Sukur disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Asam garam dunia keusahawanan menjadikan Mohd Sukur semakin matang, dalam diam dia kini sudah 15 tahun bertapak dalam perniagaan perkhidmatan memasang karpet bagi kegunaan pejabat, surau dan masjid.

“Selepas tamat pengajian ijazah dalam bidang teknologi maklumat, saya gagal mendapatkan pekerjaan, jadi cuba berniaga sendiri.

“Pada awalnya saya gagal tiga kali, daripada perniagaan dobi hingga IT (teknologi maklumat). Akhirnya saya temui peluang dalam perniagaan karpet dan alhamdulillah rezeki menyebelahi saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bapa kepada tiga anak ini menekankan bahawa minat berniaga bukan sesuatu yang datang sejak kecil, tetapi usaha yang tidak pernah berhenti menjadikannya seorang usahawan OKU yang berjaya.

“Memang tidak pernah ada cita-cita mahu jadi ahli perniagaan, tetapi saya belajar mengurus perniagaan dan kewangan dengan baik. Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada kedai di Bangi, Selangor tetapi perkhidmatan kami meliputi seluruh Malaysia jika ada permintaan,” katanya.

Bagi Mohd Sukur anugerah itu adalah tanda penghargaan kepada kedua ibu bapanya yang banyak berkorban masa selain memberikan kasih sayang tidak ternilai kepadanya.

“Saya buat bisnes untuk diri dan keluarga kerana tidak pernah mengharapkan pengiktirafan, terima kasih Kerajaan Negeri Melaka kerana memberi anugerah ini dan saya amanahkan anugerah ini kepada ibu bapa saya.

“Selagi kita boleh berdikari kita cuba majukan diri sendiri, dengan usaha dan sokongan keluarga, Insya-Allah kita boleh menguruskan diri sendiri seperti orang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026 BERI IMPAK POSITIF KEPADA SEKTOR PELANCONGAN
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERZIM PERHEBAT MUZIUM, ARKEOPELANCONGAN