Sorting by

×

KEHADIRAN TPM SUNTIK SEMANGAT PENGHUNI KAYFAZ

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT KATIL 25 Januari – Kunjungan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai suntikan semangat kepada penghuni Kompleks Anak Yatim/ Miskin Fatimah Al- Zaharah (KAYFAZ).

Pengurus KAYFAZ Nur Atiqah Abd Karim berkata, kata-kata dan ucapan TPM turut memberikan semangat dan motivasi kepada penghuni kompleks itu

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Kerajaan Negeri kerana sudi memilih KAYFAZ sebagai lokasi program bagi Majlis Ramah Mesra bersama TPM.

“Alhamdulillah, kehadiran TPM ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada penghuni KAYFAZ.

“Beliau juga ada menyampaikan sumbangan peribadi yang mana saya akan gunakan untuk beri keceriaan kepada seluruh 38 penghuni KAYFAZ.

“Apatah lagi Ramadan semakin menghampiri, sedikit sebanyak sumbangan itu dapat digunakan sebagai persiapan menjelang bulan puasa nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama penghuni KAYFAZ, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Terdahulu pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut menyantuni penghuni KAYFAZ dengan memberikan 38 kit makanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post KARNIVAL TENTERA BERSAMA RAKYAT GAMIT LEBIH 10,000 PENGUNJUNG